Khamis, 10 November 2011

Antologi Resam adalah satu-satunya buah tangan yang teramat-amat manis buatku ketika mencurahkan keringat di Negeri Bawah Bayu.....


JANJI
Tak pernah terfikir
tak pernah terjangkau
tak terduga oleh tasik minda
tentang sebuah lafaz sebuah janji
dan bagai direntap
dalam ulitan dakapan manisan
diratah bermusim dari pohon hari
bagai dikejar bayangan ngeri
dalam pelukan ketakutan
kini jendela waktu lalu
bagaikan kembali mendekat
di tabir pintu detik nan rapuh
jika sebuah janji jitu
tidak terpaku kukuh
tidak tersemat di kolam dada
tidak terlekat di kamar merdeka
janji pasti terlerai
dan
gugurlah satu persatu
tembok-tembok batu
yang menjadi harapan pada sebuah janji
Oleh:   Kamarliehudie NS
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006                 

PENAKU UNTUKMU
Di lurah luka
kau hirup madu
dalam keharuman
terhidu kehanyiran
dalam sendu
masih mampu mengopak senyum
di dada kesakitan
sempat kau sembunyikan
segala cerita ranjau berduri
dan siapakah lagi
mampu menampung sabarmu
terbelit di lingkaran sukar
dalam memelihara kesucian kamar
engkaukah
bakal mengutip kilau permata
di kancah kemenangan sewangi kemboja
atas pusara keramat penuh misteri
lambang azimat idola nusantara agung
di sini perjuanganku hanya
bukanlah di hujung pedang atau
bermain bunga api
yang berlanggar tasik merah berbau hanyir
di tebing pemisah kasih
di dada kanvas jemariku berbara lagi
lalu dilakar lagi rasa semangat membara untukmu
Oleh:   Kamarliehudie NS
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

IMPIAN
Pantai Kelambu dan Pantai Bak-Bak
Simpang Mengayau pertemuan dua benua
dalam deru angin nyaman berbalut kilau birunya laut
ada rindu tersimpan jitu
dan tika berdiri di Pulau Banggi pulau terbesar ini
seketika pada-MU terpegun
lalu terbenam ke dasar alunan ombak
atas pelayaran limpahan airmata bagai tercakar di sini
untuk dikopak tertingkap waktunya
lalu bagaimana mampu diukir impian
maka biarlah beradu berlangir kerinduan
semusim lagi sebelum sayap ke dada kasih
biarlah setanggi semerbak harum setandingmu KLCC
biarlah suntikan senyutan dedaun mengembang
biarlah warna jingga mentari di kaki pantaimu
dipancar kilau sepanjang waktu
bila nanti kudakap ke dada pantaimu lagi
dalam ciuman harum kasturi
pasti persinggahan ke kamar Pulau Banggi
akan kuhirup manisnya madu dari pepohon mekar
izinkan kita berbicara lagi di Tanduk Simpang Mengayau
dalam cerita indah tanpa kelam duka
maka atas puncak mahligai impian kuukir senyum
menatap lambaian nelayan di deruan ombak berlalu
Oleh:   Kamarliehudie NS
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

TANJUNG ARU MERUNTUN KALBU
Inilah saat ketakjuban
kutatap kebesaran pencipta
tika waktu mentari rebah ke ufuk
mewarna segala keindahan jua segala kegusaran
di balik mega berarak
terpintal seribu warna rahsia
dalam riak gelora laut bersisik
membenamkan suka duka
ke dada dasarnya
tak siapa tahu yang tersurat
kecuali Dia

Ku kenal di kesamaran bibir ke bibir
tentang lukisan wajah indahmu
tanpa siapa tahu
takdir bertemu kita di pergigian pantai ini
saat aku terjerat di belitan rindu
dalam janji pelayaran
entah untuk ke berapa lama lagi
lena aku dalam dakapanmu nan damai

Tanjung Aru
seperti hari-hari kelmarin aku dating lagi
ke jasadmu kuubati segala sepi, rindu nan sarat
bila pintu perpisahan itu menyapa
dan akulah perindu sepi di pinggir kenangan.
Oleh:   Kamarliehudie NS
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

WAKTU ITU
[Buat mereka yang bergelar pendidik]
Waktu itu
tika perjalanan di lorong gelap
menuju puncak memetik bintang
kaupimpin tanganku
kaubangunkan aku kembali
dari tersadung ke bumi
kausuluhku dengan dianmu
dan
apabila nafasku sesak dalam pendakian panjang
kaubakarkan kembali baraku ke kolam rasa
kaubangunkan aku dari nyenyak tidur nan panjang
dengan lagu nyanyi syahdumu
bersama gesekan biola
tanpa rasa jemu
tanpa rasa kesal
tanpa keluh kesah
dengan penuh yakin bersama janjimu
kau terus taburkan benih-benih harapan
ka uterus curahkan keringat bercucuran
ka uterus siramkan dedaunku nan kelayuan
tanpa menghitung titian hari
tanpa menghitung mentari
tanpa menghitung balasan budi
kerana kau mahu melihat dalam cermin dirimu
bahawa aku pasti bermandi
kilau sinar di puncak bersama bintang
dan pasti kau tersenyum
kerana itulah hadiah teragung buatmu
guru tersayang
dan akulah generasi baru membangunkan impian
dalam kemanisan dinikmati dari buah tanganmu
guru betapa jasamu
tak terbalas dengan segunung intan
tak terbayar dengan wang berjuta
yang terpahat sekadar
sebuku sebutan, sepotong nama
CIKGU!  Kekal penghujung ayat
Oleh:   Nor Aziah bt. Abdul Aziz Fadzilah
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

HADIAH
[Sempena Hari Ibu]
Tidak pernah kunilaikan
betapa agungnya pemberianmu ibu
masih padu di minda
terlupa kuucap terima kasih
masih kuingat
kurobekkan kasihmu
bersama kapal kertas yang kauberi
kerana yang kumahukan
sepasang sepatu
Lalu kau berkata
sepasang sepatu membawa kau
ke dua persimpangan dalam perjalanan jauh
tapi
sebuah kapal kertas pasti membawa kau ke laut akal
dalam pencarian daratan bersama kemenangan
untuk berlabuh
Setelah kau tiada di sisi
aku kini dipanggil ibu
dapat kurasa hatimu dulu
betapa jauhnya kasihmu ibu dalam fikir
hanya untuk kebahagian anakmu
hari ini kusambung lagi kasih
dan
pasti sebuah kapal kertasmu akan kubina
untuk warisanmu ibu
Oleh:   Nor Aziah bt. Abdul Aziz Fadzilah
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

SIAPAKAH MAMPU
[Buat Arwah Ibu Hasiah Haji Zainal]
Siapakah mampu
menjadi tukang jahit semahirmu
siapakah mampu
menjadi penuh setia sepertimu
siapakah mampu
sesabarmu menjadi penampal
kasutku nan robek
siapakah mampu
mengayam sepiku sepertimu
siapakah mampu
melagukan nyanyian merdu untukku
siapakah mampu
memberiku sungai susu selazatmu
dan siapakah mampu
mengisi kehilanganmu bertahun
Hari ini
dalam cermin diri aku menangis
dalam pencarian kasih nan kudus
kerana tiada lagi yang mampu
sesetiamu
setabahmu 
sesabarmu 
seteguh kasihmu
untuk menjahit lukaku nan dalam
untuk merawat laraku bertahun
untuk melerai bebenangku nan kusut
betapa agung kasihmu ibu
nilainya hingga ke hujung hayat.
Oleh:   Nor Aziah bt. Abdul Aziz Fadzilah
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006
            ( Menang Anugerah Sastera Negeri Sembilan )
              Dalam Genre Puisi 2007

KERANAMU AKU DI SINI
Biarpun tujuh lautan memisahkan
biarpun tujuh benua menjarakkan
ranjau bercerucuk memanah dada
kerana di sini
pembuluh nadiku bernafas
kerana di sini
Gunung Kinabalumu menikam rasa
kerana di sini
Simpang Mengayaumu membuai mimpi
kerana di sini 
Tanjung Arumu menyimpan rahsia
kerana di sini
masih ada cinta 
kerana di sini
masih ada kasih
kerana di sini
masih ada sayang
kerana di sini
segala-galanya bermula
keranamu masih aku di sini
dalam deburan ombak resah
di dada pantai penantian nan setia
Oleh:   Nor Aziah bt. Abdul Aziz Fadzilah
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

Khamis, 7 Julai 2011

KATA KERAMAT MAK

Hari ini  07/02/2011

Menerima email dari En. Zul….  menyatakan karyaku ‘Kata Keramat  Mak’ terbit…. diruang ceritaapaapasaja…..   merupakan satu utusan yang cukup bermakna untuku setelah lama tiada  mengukir ukiran bicara indah untuk di lagukan di kanvas terentang luas meghimpun jutaan pelangi ………
 
Untuk samaku kongsikan dalam Teratak Ilham Kamaliehudie Ns…

Semoga apa yang tercatat di dalamnya mampu memberikan iktibar untuk kita fikirkan buat memberi lorong sinar kepada anak-anak kita di dunia penuh onak dan duri…. 

KATA KERAMAT MAK.
         Masihku ingat butiran keramat dari mulut ibu……
 t
            “ Hidup kita ni….  tidak menungkah harus,   oleh itu tanamkan  matlamat di pembuluh nadi dan semaikan baja di ladang hati.....   agar membuahkan sinar di landasan hidup supaya mentari pagi terus berkilau ke penghujung musim dalam sebuah pelayaran yang entah dimana perlabuhan.”    

“ Mak,  nak ingatkan juga…..  genggamlah bara api biar menjadi arang….   jika belakang parang kamu berkarat dan tumpul usahalah untuk menajam dan mengilaukan kembali dan satu lagi jangan jadi gunting dalam lipatan dan jangan jadi seperti api dalam sekam takut nanti tertikan diri sendiri”

            “ Tiada apa yang dapat menolongmu…..  ingat kata-kata mak!.      Jika kau inginkan landasan yang betul ikutlah rel perjalanan keretapi yang betul,   jangan ikut yang berlekuk pasti kau akan tergelincir nanti...…   sebelum nasi menjadi bubur…......  sediakan payung sebelum hujan pasti kau berbunga senyum”

            “ Jika mak dan ayah tiada di alam fana ni…..  pasti kau akan tahu apa yang tersirat dan tersurat…   
Waktu itu….....   aku masih keanak-anakan segalanya masuk telinga kiri keluar telinga kanan.     Aku tak ambil kisah langsung apa yang di katakan  oleh mak.        Kini setelah 25 tahun berlalu….....  bagaikan baru semalam kata keramat itu ku dengari kembali……  bila aku pula menjadi ibu dan segalanya menikam ke jantungku kembali bila ku lihat anakku sendiri yang mula belajar memasuki tahun satu malas belajar jika tidak kerana dia mungkin aku tidak mampu merakamkan kembali pita keramat mak kembali dan kerana dia juga aku kembali menitipkan pena setelah agak lama ia terlena kerana kekejam waktu dan tugas.
 Malah kata-kata mak.  sempat ku buat gurauan yang waktu itu sememangnya aku sendiri tidak mengerti….…
“ Mak….  kalau nasi menjadi bubur…  gorengkan ikan masin,  celurkan sayur kangkung,  pasti sedap dimakan dan kalau hujan memanglah kita kena pakai payung kalau tidak basahlah dan dapat deman!!!”     
Mak tak pernah marah ia hanya senyum dan mengelengkan kepala  saja begitulah cara mak mendidik aku dan adik-adik yang boleh di kata semuanya berjaya tidak terjerat dalam anasir yang boleh merosakkan masa depan seperti yang banyak terbentang pada dunia hari ini.   Bagiku cara mak amat berkesan hingga menusuk ke tangkai hati tanpa mengenakan rotan seperti anak-anak zaman dunia moden hari ini.

Dalam dunia global masa kini dengan kesibukkan tugasan harian di pejabat aku dan suami memang tiada punya masa yang banyak untuk bersama permata hati anugerah tuhan kepada kami.     Lalu kesan pengajaran mak yang lalu… ku terapkan kembali ke dada puteriku agar ia mampu berfikir….  untuk mewarnakan masa depannya kerana tidak semesti kita mengajar mereka dengan kekerasan kerana dengan kelembutan boleh mencairkan anak-anak yang berjiwa keras.
Aku mengajarnya dengan menceritakan bagaimana aku boleh berjaya begitu….… dengan ibu saudara dan bapa saudaranya boleh menjadi manusia berguna.     Nampaknya ada kesan yang dapat ku lihat pada anakku kerana sekarang dia sudah pandai membahagikan masa untuk berlajar,  bermain dan mengisi waktunya dengan benda yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri.    Aku dan suami mampu tersenyuman tanpa rasa bimbang lagi untuk melihat sinar mentari menerangi perjalanan hidup anakku.
Sesungguh kasih sayang seorang ibu amatlah tidak terbayar dengan apa jua, kecuali dengan doa anak yang solehah.      
                                             Nor Aziah Abdul Aziz Fadzilah
                                                      Jelebu,  Negeri Sembilan.

Rabu, 29 Jun 2011

Karya Pertamaku

Puisi / Sajak.
SMUJ DALAM MEMORI merupakan sebuah karya pertamaku yang termuat dalam Majalah Mingguan Kanak-Kanak pada 11hb. Julai 1985 yang mana merupakan penyuntik semangat dan titik tolak dimana aku terjun ke dunia penulisan dan terus menjadi Ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan hingga sekarang....  yang mana puisi/sajak tersebut cukup bermakna dalam karyaku, sehinggalah lahirnya Kamaliehudie NS.  
Terima kasihku pada Pn. Mahaya,  Arwah Agus Salim dan Penyair Lim Swee Tin....  yang merupakan orang-orang yang mendekatkan saya ke dunia seni......juga keluarga/teman yang memberi semangat untuk aku terus menulis ketika itu,  terutama abah  dan tak lupa juga pada En Latip Talib Penulis Novel  Sejarah Islam yang pernah bersama ..... sewaktu di Pejabat Felcra Lakai,  terimakasih  kerana waktu aktif dulu sering tumpang  kereta En,Latip & En Zahid Seman ketika mengikuti aktiviti PEN bersama Haniza Hashim,   tahniah!!!!!!.... dari saya kerana telah berjaya menjadi penulis novel yang cukup di kenali  dan menaikkan nama Daerah Jelebu yang damai lagi permai …....

SMUJ  (Sek. Men. Undang Jelebu)
KHAS untuk guru-guruku, teman-temanku dan warga SMUJ dulu hinggga kini....
Hubungi saya jika masih mengenali diri saya:    
 email - aziahaziz09@yahoo.com.my,   http; //kamaliehudiens.weebly.com   &  http://kamaliehudie-ns. blogspot  
SEBAHAGIAN DARI FOTO BERSAMA TEMAN & GURU SEWAKTU MENGUTIP SETEGUK BUTIRAN PERMATA DARI LAUT ILMUMU YANG MENJADI PENYULUH LORONG DENAI KAMI YANG KINI BAGAIKAN BURUNG BERTERBANGAN MEMBURU BINTANG.....   BUDIMU CIKGU TAK TERBALAS DENGAN SEGUNUNG INTAN,  HANYA YANG MAMPU KU BERIKAN.... CUMA SEJAMBAK PUISI DIHUJUNG KALAM KU...  DAN TERUS MENATAP TERATAK YANG TAK SEINDAH MANA NAMUN IANYA BERNILAI BAGIKU UNTUK KALIAN SEMUA........

   Di kamar sepi.....
dalam dakapan malam dingin.....
di temani irama lagu
nan! syahdu di luar
..... irama cengkerik berlagu riang
bersama hembusan pepohon menyegarkan
di......
iringi deruan angin sepoi-sepoi bahasa
menyingkap kembali.....
pada memori indah!  di zaman itu.....
kini.....
hanya potret lukisan wajah
terpapar di celahan album usang
bersama sejarah silam
..... sejarah pahit dan manis
..... ketika meniti detik-detik liku pejuangan
di waktu kita mendambarkannya!
lantaran .....
di ketika ini teramat sulit!!!!!
..... pada sebuah pertemuan baru
dalam dakapan usia merangkak jauh.....!
13 musim yang lalu.....
setelah perpisahan di SMUJ
cuma .....
di kamar sekeping hati
..... hanya terpahat memori abadi

     



Karya:


 Nor Aziah Abdul Aziz Fadzilah
Rumah Guru Sepri Tengah
Kuala Klawang, Jelebu
Negeri Sembilan.

Rabu, 22 Jun 2011

Pengenalan...


Halaman Karyaku

Penerangan Ringkas:

Halaman Teratak Ilham Kamaliehudie NS merupakan kotak memori abadi menghimpunkan segala hasil karya penulisan sejak awal penglibatan dalam dunia penulisan dan kegiatan-kegiatan yang di ikuti ketika aktif  dulu.      Seni itu terlalu unik dan amat sukar untuk di lukiskan dengan kata-kata hanya kanvas dan matapena yang mampu meluahkan segalanya.....   kerana itu saya masih terus lagi menulis.......  tapi  tidak seaktif dulu mengikuti aktiviti persatuan penulis (PEN).   


Tujuan websiteini dilakar ciptakan untuk tatapan keluarga,  sanak saudara,  sahabat handai dan rakan-rakan yang sealiran seirama dengan Kamaliehudien NS.......

Sejarah awal penglibatan ke dunia penulisan ketika di sekolah menengah.....  hampir-hampir hilang semangat untuk terus menulis.... kerana setiap kali hasil karya di kirim ke media massa dan Elektronik tidak pernah mendapat tempat.     Namun kira saya nie!!!...   orang kuat semangat juga.....  kalau genggam bara api biar jadi arang,  saya tidak mahu berputih tulang,
 tersadung di pertengahan jalan kerana segala hempu saya telan.


Selama tiga tahun saya berusaha..... berhubungan dengan penulis lain...  tanpa malu.           Akhirnya berjumpa Arwah Agus Salim,  Pn. Maya Yasin,  En. Latip Talip..... dan beberapa yang saya tak ingat lagi namanya.    Guru yang membawa saya ke dunia puisi....  ialah penyair  Lim Swee Tin.....  waktu itu computer belum ada lagi....  dia penulis yang mahu membalas surat-surat saya dan memberi nasihat dan komen tentang karya saya......  masih ingat lagi kata-katanya (Aziah karya awak masuk tong sampah saja).......   karya-karya yang saya kirim padanya pasti sering teralir sungai merah olehnya  dan sungai merah itulah pemangkin saya terus menulis......

Sehinggalah karya pertama saya termuat dalam Majalah Mingguan Kanak-kanak....  Wah!!!!!.... tak lelap tidur malam tu berkali-kali membacanya kerana tidak diedit oleh editor,
terus tertanya-tanya macam mana boleh tersiar.... 
bertitik tolak dari situlah 
 karya saya mula sering tersiar di radio... 
kemudian memberanikan diri mengirim ke Akhbar Utusan Malaysia
 sayapun dah tak ingat puisi apa yang tersiar
tahu-tahu saya dapat cek je.... 
sampai sekarang saya tak jumpa puisi tersebut.....
oleh kerana cinta telah bersemi saya tak kisah puisi tersebut dan terus menulis
rupanya itulah azimat termahal saya yang hilang...

Terimakasih!!!....  
Kepada suami tercinta yang memahami saya,  yang kadangkala tidurnya lewat

meniti pinggir dinihari,  
 terima kasih abah...  orang yang memberi semangat biarpun pada mula melarang
kerana tika itu masih sekolah,  
terima kasih pada adik-adik yang memahami dan teman-teman
yang  sentiasa memberi dorong untuk  berkarya sehingga akhirnya
 karya saya terpilih untuk menerima anugerah sastera yang saya sendiri
tidak menduganya sama sekali
kerana bersaing bersama penulis sememangnya hebat belaka...
syurkur!!!!    kepada yang maha ESA.......




" seni itu unik........ "

Iklas
Kamaliehudie NS
( Nor Aziah Abdul Aziz Fadzilah )
Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)
Jelebu,  Negeri sembilan

Salam Perkenalan...

Blog ini diwujudkan untuk berkongsi pengalaman dalam mengutip seribu warna perjalanan hidup dalam memburu berjuta bintang dilangit...... 
lalu disini kita titipkan gubahan ilham 
menjadi jambangan baik-bait puitis nan indah 
bersama melodi yang bisa menikam kalbu
buat kalian pengunjungku untuk berlabuh sebentar
di Teratak Ilham Kamaliehudie NS........
agar lautan titisan pena an kitatara 
tidak akan kering tandus dilanda kemarau nan panjang
 lalu di Teratak Ilham ini 
biarlah ianya terus teralir mekar subur
bersama kanvas kalam teman pengunjung lamanku
yang sealiran untuk bertukar pandangan dalam berkarya
dan
sama-sama kita mengupas apa yang tersirat & tersurat 
komen-komen kalian saya hargai.....
dalam menajamkan lagi mata penaku 
pastinya masih banyak terkurang 



Salam buat semua teman pengunjung
Teratak Ilham Kamaliehudie NS