Puisi Bersama Janji

BERSAMA JANJI
Terlupa
ditutup pintu di dada malam
teragut manis kenangan
terkadang ia duri berbisa
di lubuk perbalahan
mengukai kebenaran
mencari kejujuran pahit
meniti titian damai nan rapuh
bagi berlabuh di pergigian
pantaimu berombak
kesetian seteguh karang
bersama sumpah
bersama janji
terleraikah ditelan gelombang membesar
atau semakin utuh
seteguh Taj Mahal
ketulusan cinta Shah Jehan
kerana di sinilah
melimpahnya aliran sungai merah
di pembuluh  reranting seribu liku
di pohon rimbunan terlakar
bersama janji
bersama sumpah keramat
bersama kejujuran, amanah terpahat
terhimpun di kawah degup nadi
memintal kesetiaan di dedaun hari
agar palitan pahitan silam tiada terkuak
untuk diratah kekancah luka
kerana bersama janji
kita berlanggir kasturi diperdu ini
kerana bersama janji 
kita melakar sejarah damai dibibir alam
dan.bersama janji kita lena
dibuai mimpi di malam kemenangan
bersama janji damailah kita di sini.
 Karya Oleh;-
Kamaliehudie NS
MRSM Tun Ghafar Baba Jasin Melaka
Jun 2011

Tiada ulasan: