Khamis, 10 November 2011

Antologi Resam adalah satu-satunya buah tangan yang teramat-amat manis buatku ketika mencurahkan keringat di Negeri Bawah Bayu.....


JANJI
Tak pernah terfikir
tak pernah terjangkau
tak terduga oleh tasik minda
tentang sebuah lafaz sebuah janji
dan bagai direntap
dalam ulitan dakapan manisan
diratah bermusim dari pohon hari
bagai dikejar bayangan ngeri
dalam pelukan ketakutan
kini jendela waktu lalu
bagaikan kembali mendekat
di tabir pintu detik nan rapuh
jika sebuah janji jitu
tidak terpaku kukuh
tidak tersemat di kolam dada
tidak terlekat di kamar merdeka
janji pasti terlerai
dan
gugurlah satu persatu
tembok-tembok batu
yang menjadi harapan pada sebuah janji
Oleh:   Kamarliehudie NS
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006                 

PENAKU UNTUKMU
Di lurah luka
kau hirup madu
dalam keharuman
terhidu kehanyiran
dalam sendu
masih mampu mengopak senyum
di dada kesakitan
sempat kau sembunyikan
segala cerita ranjau berduri
dan siapakah lagi
mampu menampung sabarmu
terbelit di lingkaran sukar
dalam memelihara kesucian kamar
engkaukah
bakal mengutip kilau permata
di kancah kemenangan sewangi kemboja
atas pusara keramat penuh misteri
lambang azimat idola nusantara agung
di sini perjuanganku hanya
bukanlah di hujung pedang atau
bermain bunga api
yang berlanggar tasik merah berbau hanyir
di tebing pemisah kasih
di dada kanvas jemariku berbara lagi
lalu dilakar lagi rasa semangat membara untukmu
Oleh:   Kamarliehudie NS
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

IMPIAN
Pantai Kelambu dan Pantai Bak-Bak
Simpang Mengayau pertemuan dua benua
dalam deru angin nyaman berbalut kilau birunya laut
ada rindu tersimpan jitu
dan tika berdiri di Pulau Banggi pulau terbesar ini
seketika pada-MU terpegun
lalu terbenam ke dasar alunan ombak
atas pelayaran limpahan airmata bagai tercakar di sini
untuk dikopak tertingkap waktunya
lalu bagaimana mampu diukir impian
maka biarlah beradu berlangir kerinduan
semusim lagi sebelum sayap ke dada kasih
biarlah setanggi semerbak harum setandingmu KLCC
biarlah suntikan senyutan dedaun mengembang
biarlah warna jingga mentari di kaki pantaimu
dipancar kilau sepanjang waktu
bila nanti kudakap ke dada pantaimu lagi
dalam ciuman harum kasturi
pasti persinggahan ke kamar Pulau Banggi
akan kuhirup manisnya madu dari pepohon mekar
izinkan kita berbicara lagi di Tanduk Simpang Mengayau
dalam cerita indah tanpa kelam duka
maka atas puncak mahligai impian kuukir senyum
menatap lambaian nelayan di deruan ombak berlalu
Oleh:   Kamarliehudie NS
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

TANJUNG ARU MERUNTUN KALBU
Inilah saat ketakjuban
kutatap kebesaran pencipta
tika waktu mentari rebah ke ufuk
mewarna segala keindahan jua segala kegusaran
di balik mega berarak
terpintal seribu warna rahsia
dalam riak gelora laut bersisik
membenamkan suka duka
ke dada dasarnya
tak siapa tahu yang tersurat
kecuali Dia

Ku kenal di kesamaran bibir ke bibir
tentang lukisan wajah indahmu
tanpa siapa tahu
takdir bertemu kita di pergigian pantai ini
saat aku terjerat di belitan rindu
dalam janji pelayaran
entah untuk ke berapa lama lagi
lena aku dalam dakapanmu nan damai

Tanjung Aru
seperti hari-hari kelmarin aku dating lagi
ke jasadmu kuubati segala sepi, rindu nan sarat
bila pintu perpisahan itu menyapa
dan akulah perindu sepi di pinggir kenangan.
Oleh:   Kamarliehudie NS
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

WAKTU ITU
[Buat mereka yang bergelar pendidik]
Waktu itu
tika perjalanan di lorong gelap
menuju puncak memetik bintang
kaupimpin tanganku
kaubangunkan aku kembali
dari tersadung ke bumi
kausuluhku dengan dianmu
dan
apabila nafasku sesak dalam pendakian panjang
kaubakarkan kembali baraku ke kolam rasa
kaubangunkan aku dari nyenyak tidur nan panjang
dengan lagu nyanyi syahdumu
bersama gesekan biola
tanpa rasa jemu
tanpa rasa kesal
tanpa keluh kesah
dengan penuh yakin bersama janjimu
kau terus taburkan benih-benih harapan
ka uterus curahkan keringat bercucuran
ka uterus siramkan dedaunku nan kelayuan
tanpa menghitung titian hari
tanpa menghitung mentari
tanpa menghitung balasan budi
kerana kau mahu melihat dalam cermin dirimu
bahawa aku pasti bermandi
kilau sinar di puncak bersama bintang
dan pasti kau tersenyum
kerana itulah hadiah teragung buatmu
guru tersayang
dan akulah generasi baru membangunkan impian
dalam kemanisan dinikmati dari buah tanganmu
guru betapa jasamu
tak terbalas dengan segunung intan
tak terbayar dengan wang berjuta
yang terpahat sekadar
sebuku sebutan, sepotong nama
CIKGU!  Kekal penghujung ayat
Oleh:   Nor Aziah bt. Abdul Aziz Fadzilah
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

HADIAH
[Sempena Hari Ibu]
Tidak pernah kunilaikan
betapa agungnya pemberianmu ibu
masih padu di minda
terlupa kuucap terima kasih
masih kuingat
kurobekkan kasihmu
bersama kapal kertas yang kauberi
kerana yang kumahukan
sepasang sepatu
Lalu kau berkata
sepasang sepatu membawa kau
ke dua persimpangan dalam perjalanan jauh
tapi
sebuah kapal kertas pasti membawa kau ke laut akal
dalam pencarian daratan bersama kemenangan
untuk berlabuh
Setelah kau tiada di sisi
aku kini dipanggil ibu
dapat kurasa hatimu dulu
betapa jauhnya kasihmu ibu dalam fikir
hanya untuk kebahagian anakmu
hari ini kusambung lagi kasih
dan
pasti sebuah kapal kertasmu akan kubina
untuk warisanmu ibu
Oleh:   Nor Aziah bt. Abdul Aziz Fadzilah
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006

SIAPAKAH MAMPU
[Buat Arwah Ibu Hasiah Haji Zainal]
Siapakah mampu
menjadi tukang jahit semahirmu
siapakah mampu
menjadi penuh setia sepertimu
siapakah mampu
sesabarmu menjadi penampal
kasutku nan robek
siapakah mampu
mengayam sepiku sepertimu
siapakah mampu
melagukan nyanyian merdu untukku
siapakah mampu
memberiku sungai susu selazatmu
dan siapakah mampu
mengisi kehilanganmu bertahun
Hari ini
dalam cermin diri aku menangis
dalam pencarian kasih nan kudus
kerana tiada lagi yang mampu
sesetiamu
setabahmu 
sesabarmu 
seteguh kasihmu
untuk menjahit lukaku nan dalam
untuk merawat laraku bertahun
untuk melerai bebenangku nan kusut
betapa agung kasihmu ibu
nilainya hingga ke hujung hayat.
Oleh:   Nor Aziah bt. Abdul Aziz Fadzilah
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006
            ( Menang Anugerah Sastera Negeri Sembilan )
              Dalam Genre Puisi 2007

KERANAMU AKU DI SINI
Biarpun tujuh lautan memisahkan
biarpun tujuh benua menjarakkan
ranjau bercerucuk memanah dada
kerana di sini
pembuluh nadiku bernafas
kerana di sini
Gunung Kinabalumu menikam rasa
kerana di sini
Simpang Mengayaumu membuai mimpi
kerana di sini 
Tanjung Arumu menyimpan rahsia
kerana di sini
masih ada cinta 
kerana di sini
masih ada kasih
kerana di sini
masih ada sayang
kerana di sini
segala-galanya bermula
keranamu masih aku di sini
dalam deburan ombak resah
di dada pantai penantian nan setia
Oleh:   Nor Aziah bt. Abdul Aziz Fadzilah
            Antologi Puisi Sempena Jubli Emas DBP
            Resam 2006