Selasa, 20 Mac 2012

Biodata




NOR AZIAH ABDUL AZIZ FADZILAH
atau Kamaliehudie NS lahir di Jelebu pada 01/05/19......  merupakan anak pertama dari lapan bersaudara.    Telah berkeluarga dan punya seorang puteri.   Mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Durian Tipus,  kemudian mendapat pendidikan menengah di Sek. Men. Triang Hilir  dan  Sek. Men. Undang Jelebu.

Pernah bertugas di Pejabat Felcra Gususan Lakai, Simpang Durian, Jelebu.   Kemudian berkhidmat dengan MARA hingga kini.  Bertugas di MRSM Kuala Klawang Jelebu,  IKM Jasin,  MRSM Tun Ghafar Baba Jasin dan pernah bertugas Pejabat MARA Negeri Kota Kinabalu Sabah.  

Pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang  tahun 2001 ketika di MRSM Jasin dan juga menerima Anugerah Sastera Peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2005 dan juga pada tahun 2007 dalam genre puisi.

Hasil karya pernah mendapat tempat di Utusan Malaysia,   Berita Harian,  Al-Islam,  Radio Melaka,  Radio Satu (RTM), Radio Seremban, Majalah Remaja,  Mingguan Watan,  Majalah Keluarga,   Akhbar Daily / Harian Ekspres terbitan akhbar Sabah dan lain-lain.

Menjadi ahli Persatuan Penulis  Negeri Sembilan (PEN).   Pernah mengikuti beberapa bengkel dan kursus penulisan anjuran PEN.    Antaranya bengkel penulisan Novel Remaja anjuran PEN/DBP di Port Dickson dan  lain-lain.

Bidang penulisan yang diceburi cerpen, puisi, novel .... lebih cenderung dalam penulisan puisi.    Hasil karya yang telah terhasil  "Sejambak Kasih"  "Gema Serunai Hati 3",  'Gema Serunai Hati 4",  "Gema Serunai Hati 7",   "Merafaq Sembah",  juga antologi cerpen bersama penulis wanita Negeri Sembilan   "Jauh Disudut Hati",   Buku Karisma (Biografi Penulis Negeri Sembilan),   Antologi  "RESAM"  terbitan DBP sempena Jubli Emas DBP Sabah.


Jumaat, 3 Februari 2012

DAERAH INI MASIH TERPAHAT ABADI DI KOLAM RASA

Berpayung aku di rantingmu
tersenyum dalam kelembutan
berpaut di dahan kukuh
kini
bersama denyutan nadi
setelah terlina suatu waktu
kembali terjaga dari lamunan mimpi
bersama kerlipan bintang
terserlah di lorong gelita
dan pasti suatu detik
yang bernama esok
akan harum sewangi setanggi
melenyapkan kealpaan semalam
bersandar keyakinan
peribumi bersatu.

Di pinggir dinihari ini…. tika menyelak kembali antologi “Merafaq Sembah” bila ku tatap kembali sebuah hasil karya puisi “Daerah Ini".   Dulu dan sekarang bagaikan langit dan bumi yang mana tidak pernah terfikir… daerah yang jauh di penghujung dunia yang mungkin tidak diketahui ramai, waktu itu aku masih berhingus, masih ku ingat waktu ke sekolah memakai kasut getah kini tak mungkin dijumpai lagi membawa beg rotan, belanja sekolahpun cuma 10 sen atau 20 sen jika dibandingkan dengan dunia persekolahan anak-anak yang lahir di zaman atom sekarang yang semuanya serba maju, kini mula mewangi bersama waktu yang berlari.bersama dakapan teknologi terkini.
Sesekali bila kembali ke daerah yang sungguh unik dan indah ini bagi diriku kerana kesegaran udara dan nyaman alam yang masih belum ternoda oleh kekejaman waktu di arus dunia baru. Namun dalam gelora pembangunan nan kian menjalar melingkari jagat…. aku masih tetap anak kampung seperti dulu....... Alangkah!!!... indah dan manisnya andai sawah ladang terbiar dihijaukan kembali dengan rimbunan pekebunan nan baru dengan tanaman kontan yang boleh menambahkan pendapatan harian.    Di samping hutan batu yang tumbuh tidak akan melenyapkan keunikan daerah ini.

 Jeram Toi, Geram Gading dan Lata Kijang,Gunung Besar Hantru.….. teruskan pemeliharaan dengan keindahan agar bisa memukau pandang para beburung untuk singgah… bersantai dan menatap Muzium Adat, mengenangkan kembali pahlawan Moyang Salleh dan sesekali kita bersujud ke Masjid Kuala Dulang, untuk beribadat di masjid tertua daerah ini memohon keberkatan dari ilahi agar dipermudahkan kehidupan sebelum ajal menjemput tiba.

Dalam kepenatan memerah keringat di bumi Hang Tuah, daerah ini masih tersemai di kamar setiap detik dan saat…. Alhamdulilah kerana aku masih punya kampung untuk keluargaku bermuafakat menjalin keutuhan persaudaraan.   Kampung yang membawa jutaan kenangan dan mendamaikan dari permasalah pencarian titisan keringat seharian untuk degup jantung sebelum ke penghujung musim..

Alangkah!!!…. bagusnya kalau aku mampu memenuhi angan ini untuk menjadikan daerah tercinta ini satu tempat peranginan / pelancung yang terkenal di pinggir nusantara…. Mungkin aku hanya mampu mengubahnya di sungai pena mengukir bait bicara di hujung kalam….

Terima kasihku padaMU kerana malam ini daeraH ini mengetuk daun jendela silamku untuk kembali dibasahi bicara setelah agak lama beradu… buah tangan ini buat kalian semua terutama yang titisan darahnya tumpah di bumi daerah beradat lagi bertuah ini.

Karya Oleh: Kamaliehudie NS
Kuala Klawang, Jelebu - Febuari 2012